“Disebalik kejayaan seorang lelaki, pasti dibelakangnya seorang wanita”
Begitu tinggi darjatnya seorang wanita di dunia ini. Seorang wanita mampu sekaligus bertindak sebagai seorang isteri, ibu, pendidik dan pekerja; Seorang ibu yang menjaga dan mendidik anak, seorang isteri yang sentiasa menyokong suami dan menjadi tulang belakang disebalik kejayaan suami, seorang suri yang mempersiapkan segala makan pakai seisi rumah, dan seorang pekerja yang menyumbang tenaga dan idea kepada masyarakat.
Rahsia kejayaan seorang suami terletak pada pendampingnya. Isteri adalah teman bicara, teman berbincang dan teman berkongsi suka dan duka. Dengan redhanya seorang isteri membenarkan suaminya berpergian meninggalkannya kerana urusan kerjaya atau perniagaan, barulah si suami berasa lapang dada untuk melakukan pekerjaan. Dengan sikap memahami yang ada pada isteri, barulah suami berasa bertuah mempunyai teman hidup yang sentiasa ringan tulang dan cerdas otak di dalam membantu merungkai kekusutan yang sering menjengah. Dengan mensyukuri indahnya kehadiran seorang isteri, barulah suami berasa sejuk hati dan mampu melupakan segala masalah yang dihadapi ketika di pejabat.
“Isteri bukan hak milik, tapi Anugerah” _ dipetik daripada filem Cinta.
Ya, isteri adalah seorang teman hidup, bukan hamba yang boleh disuruh dan diarah. Gelaran itu sungguh mulia dan tidak layak untuk disalah erti. Isteri mempunyai tanggungjawab untuk mempersiapkan dan melengkapkan apa sahaja keperluan zahir dan batin seorang suami, tetapi ia bukan bermakna segala – galanya perlu diletakkan di bahu isteri.
Isteri bukan hamba sahaya yang boleh dimarah dan diherdik jika apa yang dilakukan dirasakan tidak memuaskan. Isteri adalah teman yang perlu ditegur jika apa yang dilakukan tidak sedap dipandang mata.
Sering berlaku di dalam sebuah rumah tangga di mana isteri tak menang tangan melangsaikan semua urusan harian manakala suami hanya duduk membaca surat khabar atau menonton televisyen. Jika lambat sikit apabila dipanggil, atau masakan ada yang tak kena, mulalah suami naik angin! Pendek kata, segala keinginan dan keperluan suami wajib dibereskan secara sempurna oleh si isteri. Alasannya, suami sudah penat seharian mencari nafkah untuk keluarga. Hai, bukankah zaman sekarang isteri juga keluar membantu suami mencari nafkah? Jadi mengapa pula suami tidak boleh ringan tulang membantu isteri menguruskan hal rumah tangga? Dan adakah itu satu lisence yang menghalalkan suami untuk sewenang – wenangnya melayan isteri tak ubah seperti orang gaji?
(Selingan...)
Kalau sekadar nak melayan isteri seperti orang gaji, lebih baik tak payah kahwin, hire je la pembantu rumah! Oh, terlupa pula, kalau tak kahwin, kurang satu nikmat yang boleh dilakukan terhadap wanita tersebut… ish ish ish…
Menjadi suami bukan bererti anda berkuasa menentukan apa sahaja untuk isteri mengikut sesuka hati. Isteri juga bukan employee yang perlu diadakan rules & regulation yang bukan – bukan dan boleh dikongkong dan ditegah itu ini. Isteri masih seorang manusia yang masih perlu kehidupan sosialnya bersama kawan – kawan dan mempunyai minat atau hobi yang tidak salah untuk dilakukan.
Wahai para suami,
Hargailah isteri /isteri – isteri anda sementara mereka masih di sisi anda. Jangan nanti bila sudah tiada barulah terasa susah hidup tanpanya, dan tak lengkap segala urusan kerana ketiadaannya.
P/S: Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang teman setia yang memahami perjalanan hidup dan tugasa seharian ku. Alhamdulillah, aku dianugerahkan seorang suami yang tidak buta menilai pengorbanan seorang isteri...
Xiet_enigma
11:00AM; 080509
UNI MALAYA