Sudah menjadi lumrah di dalam soal percintaan, kaum Adam dilihat lebih terkehadapan di dalam meluahkan perasaan, sedangkan kaum Hawa yang sinonim dengan sifat pemalu, lebih biasa menunggu dan mendiamkan diri berbanding meluahkan perasaannya kepada si teruna.
Di dalam sesebuah perhubungan yang baru hendak dimulakan, si gadis biasanya lebih selesa jika si teruna yang memulakan dahulu. Takut dilabel sebagai 'perigi cari timba' atau 'perempuan rendah akhlak dan harga diri', kadangkala si gadis lebih rela jika dirinya diulik tanda tanya dan teka teki. Maka hati pun menjadi gundah gulana dan jiwa menjadi tersiksa. Lagi-lagi jika si teruna seolah-olah memberi 'hint' yang positif. Lumrah sifat wanita, memang suka berfikiran banyak. Tambahan lagi memandangkan ianya sekadar 'hint' (sesuatu yang tidak pasti), maka takut juga jika ia disalah erti.
Sifat seorang lelaki budiman haruslah bijak mengatur langkah. Haruslah berani memulakan bicara. Namun, tak dinafikan tak semua lelaki mampu berbuat demikian. Mungkin takut jika diri dan permintaanya ditolak, atau merasa rendah diri berbanding si gadis yang disukainya, sesetengah lelaki lebih rela sekadar memberi 'hint' dan seringkali tidak pasti untuk memulakan langkah. Walaupun ianya dilihat tidak 'gentleman', namun perlulah di beri kemaafan kerana seorang lelaki juga adalah seorang manusia biasa, yang mungkin itulah salah satu daripada kelemahan dirinya sebagai seorang lelaki/manusia.
Dan sekiranya rasa sayang itu terbit dahulu daripada si gadis, adakah salah jika si gadis yang memulakannya dahulu?
Teladani Saidatina Khadijah R.A
Teringat pada bicara seorang sahabat ketika di universiti 4 tahun yang lepas, katanya jika sekalipun dia menyukai seorang gadis, tetapi tiba-tiba si gadis itu pula yang memulakan langkah mendekati dirinya, dia akan menolak si gadis itu kerana si gadis dilihat 'kurang sopan', 'tidak malu' dan 'tidak sesuai'.
Maka lupakah pada one of the greatest women in the world, wanita pertama yang mencuri hati Rasulullah - Khadijah binti Khuwailid?
Lupakah tentang cerita bahawa Saidatina Khadijah lah yang memulakan langkah pertamanya di dalam mengatur jodohnya bersama Rasulullah S.A.W? Maka adakah wanita semulia beliau dianggap perigi cari timba yang kurang akhlaknya dan rendah sifat malunya?
Namun, para wanita haruslah mengetahui cara-cara yang baik untuk memulakan langkah. Bukanlah dengan cara memberi hint-hint yang mengelirukan, atau menggoda si lelaki dengan cara-cara yang mampu mendatangkan syahwat, atau dengan istilah sekarang yang mudah difahami, dengan cara 'tergedik-gedik' atau 'mengada-ngada' di hadapan lelaki tersebut.
"Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita" -Hadis Riwayat Muslim
Kekalkanlah sifat malu dan jagalah maruah diri anda sebagai seorang wanita. Menyatakan hasrat hati tidaklah menggugat maruah diri anda, sebaliknya cara yang digunakan untuk menyatakan hasrat itulah yang perlu diteliti. Mari kita contohi sekali lagi bagaimana cara Saidatina Khadijah mengatur langkahnya menyatakan hasrat hatinya kepada Rasulullah S.A.W.
Saidatina Khadijah merisik Rasulullah melalui sahabat baiknya, Nufaisah Bt Munya. Cara ini dianggap lebih sopan dan selamat, kalau-kalau permintaannya ditolak oleh Rasulullah. Nufaisah juga pada mulanya merahsiakan identiti Khadijah. Beliau hanya menggunakan kiasan sahaja. Hanya apabila Rasulullah menunjukkan minat, barulah Nufaisah lebih berterus terang... Proses seterusnya (meminang dan menikah) adalah dimulakan oleh Rasulullah S.A.W dahulu, seperti mana adat masyarakat Arab dan cara-cara Islam sendiri.
Sekiranya seorang wanita itu mempunyai keberanian untuk berterus terang kepada seorang lelaki, maka lakukanlah dengan cara yang baik. Pendapat peribadi saya, tidaklah salah sekiranya seorang wanita itu bertanya secara terus kepada si lelaki, samada melalui orang tengah yang boleh dipercayai, atau secara sendiri (SMS, email, dan sebagainya). Asalkan caranya sopan :)
Dan kepada kaum Adam sekalian, jika seorang wanita menyatakan hasratnya kepada anda, ketahuilah bahawa wanita itu seorang yang mulia dan berani. Dia telah menepis rasa malu yang tebal, dan telah membuat satu keputusan yang amat sukar sekali. Hargailah usahanya sungguhpun mungkin anda terpaksa menolak permintaannya. Janganlah sesekali memperkecilkan usahanya, apatah lagi mengaibkannya. Ingatlah pesanan Rasulullah, tentang menjaga aib sesama muslim.
"Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan janganlah membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan barangsiapa yang aibnya di buka Allah, maka Dia akanb membukanya sekalipun di dalam rumahnya" - H.R Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi.
Wahai wanita, sekiranya anda mahu berterus terang dan memulakan langkah pertama, ketahuilah bahawa anda patut berasa gembira kerana anda adalah wanita mulia dan berani. Tidak semua orang mampu melakukannya :)
* beutiful muslimah photo is taken from here