Namun, persoalan yang timbul; sejauh manakah hati melayan karenah nafsu duniawi? Adakah sekadar memastikan kehidupan lebih terjamin, ataupun sehingga menjadikan nafsu itu menguasai priority kehidupan?
Wahai para du’at,
Di manakah anda semua? Adakah sudah penat mengemudi perahu dakwah sehingga mahu mengundur diri? Ataukah sudah tidak berdaya menyelusuri jalan dakwah yang penuh pancaroba lantas mahukan rehat yang panjang, tidur yang lena serta mimpi yang indah? Ataukah minda sudah kehabisan segala idea kerana tidak mampu menyaingi hati yang cenderung melebihkan tuntutan nafsu duniawi?
Wahai para muslimin,
Jika dahulu, sengguk sanggup ditahan dek kerana memerah otak bagi memastikan kupasan isu dibahas bersama dengan matang. Jika dahulu, waktu yang terhad ketika berjumpa para ikhwan digunakan untuk bertanya khabar dan membincangkan isu agama. Jika dahulu, masalah ikhwan adalah masalah anda juga…
Kini,
Semua masa dihabiskan hanya untuk mencari wang ringgit, agar dapat merealisasikan impian untuk membeli mobil idaman. Segala yang difikirkan hanyalah bagaimana caranya untuk menaut hati si gadis yang dicintai. Perjumpaan dengan ikhwan dihabiskan dengan perbualan tentang berapa tebal duit di poket masing – masing, berapa buah kereta yang dimiliki dan berapa orang isteri yang ingin dinikahi.
Jika dahulu, masalah sahabat anda adalah masalah anda juga. Kini, sahabat yang paling rapat di sisi anda suatu ketika dahulu, langsung tidak pernah anda hiraukan lagi. Sayangnya ukhuwah dimatikan begitu sahaja. Lebih – lebih lagi, jika sudah punyai isteri. Hidupmu hanya untuk dirimu dan isteri tercinta sahaja!
Di manakah pejuang – pejuang Islam yang dahulunya sentiasa bersiap siaga terhadap apa juga mehnah dan tribulasi di dalam perjuangan dakwah? Di manakah lelaki – lelaki soleh yang dahulunya sentiasa membicarakan soal perjuangan agama?
Wahai para muslimat,
Yang belum berkahwin, sibuk memikirkan masalah percintaan masing – masing. Yang sudah berkahwin pula, menjadikan alasan tugasan rumah tangga yang terbeban sehingga tidak sanggup turun ke medan dakwah. Yang belum bercahaya mata, sibuk menjadikan kerjaya sebagai alasan untuk tidak mahu diganggu. Yang sedang berbadan dua pula, menjadikan alasan ‘pembawaan budak’ dan tidak berdaya untuk menyumbang idea dan tenaga. Manakala yang sudah bercayaha mata, konon ingin fokus kepada pembinaan baitul muslim dengan mendidik anak – anak menjadi para pejuang Islam. Tetapi, jika si ibu tidak memberi contoh yang baik kepada anak, bagaimana si anak ingin meneladani ibunya?
Di manakah serikandi – serikandi yang dahulunya sentiasa berada di soff hadapan setiap kali Islam dipersendakan? Di manakah wanita berhati tabah yang bijak menguruskan hal peribadi agar tidak sesekali mengganggu tugasan dakwah?
Fikirlah semula,
Adakah semua itu benar – benar masalah yang tidak mampu dielakkan, yang menyebabkan kita terpaksa memilih untuk bergerak pasif atau terus tidur di dalam medan dakwah? Ataukah hanya 2% sahaja kebenaran, manakala selebihnya hanya ALASAN YANG DICIPTA SEMATA – MATA?!
Memang benar, setiap pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas, itu adalah ibadah. Dan setiap muslim yang berusaha melakukan yang terbaik demi agamanya, itu adalah jihad. Islam tidak pernah menghalang penganutnya untuk berjaya. Islam tidak pernah menghalang penganutnya untuk menjadi kaya.
Namun, tanyakan kepada diri sendiri, adakah kita benar – benar menganggap pekerjaan kita sebagai satu bentuk ibadah dan jihad? Bagaimanakah sikap kita di dalam menguruskan pekerjaan kita? Adakah kita tergolong di kalangan mereka yang hanya mementingkan gaji masuk ke dalam akaun setiap hujung bulan? Adakah kita tergolong di antara mereka yang banyak menggunakan waktu senggang di tempat kerja untuk bergosip murahan dan sebagainya? Sudah lah kerja dakwah ditinggalkan jauh di belakang, pekerjaan yang sepatutnya menjadi ibadah pun, tidak kita laksanakan dengan sebaik mungkin. Kemudian, tanpa rasa malu mahu menjadikan kesibukan harian sebagai alasan kita tidak sanggup turun ke medan dakwah lagi.
WAHAN = cintakan dunia dan takutkan mati…
Masih ingatkah istilah itu?
Sejak bila kita mula mencintai dunia sehingga leka dengan segala isinya? Ye, sejak kita sudah punyai gaji yang besar, kereta dan rumah yang selesa, dan pasangan yang lebih penting dari segala – galanya!
Buktinya?
Jika dahulu, bila kita mendengar tasjie’, hati akan menjadi sayu, lantas terus memuhasabah diri terhadap segala amanah masa yang telah kita sia – siakan dengan aktiviti yang tidak memberi fa’edah kepada agama. Langkah yang sumbang di atur kembali agar tidak tersalah strategi.
Tetapi kini, apabila mendengar tasjie’, hati menjadi marah, lantas terus membela diri yang dirasakan tidak bersalah.
Adakah zaman mereka Islam berada di bawah, dan zaman kita Islam sudah berada di atas?
Adakah mereka tidak mempunyai keluarga seperti kita?
Perbezaannya adalah;
Mereka menganggap perjuangan menegakkan tauhid bukan sebagai hobi di masa lapang atau sekadar aktiviti ketika berada di kampus. Mereka menganggap perjuangan ini sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab untuk mencari keredhaan Allah. Kerana itu, mereka meletakkan kesungguhan terhadap setiap usaha dan kerja mereka.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang – orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
Mereka itu adalah orang – orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji Allah, yang melawat (untuk mencari ilmu dan berjihad), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar, dan memelihara hukum – hukum Allah. Dan gembirakanlah orang – orang mukmin itu” ¬_ At – Taubah, 9:111-112
Xiet: Ohh… satu lagi perbezaan yang ketara di antara kita dan mereka adalah – Mereka buat kerja – kerja yang bahaya dan mencabar demi untuk menegakkan ajaran Tauhid. Siap pergi ke medan perang lagi. Kita? Herm… sekadar buat kerja ciput yang tak seberapa pun tak mampu untuk dilangsaikan…
Xiet_Enigma
250609;2 rejab 1430
U11